Nama penuh beliau ialah As-Sayyid Noh bin Sayyid Muhammad Al-Habsyi.1788M – 1866M
Noh bin Muhammad bin Ahmad bin Aidarus
bin Hadi ast-Tsani bin Aidarus bin Hadi al-Awwal bin Ahmad (Shahib asy-Syi’ib)
bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali al-Faqih bin
Ahmad al-Qadhi bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih
al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohibul Mirbath bin Abu al-Hasan
Nur al-Diin Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin’Alwi bin’Ubaidullah bin
al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin
Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin
al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah
al-Zahra’ binti Rasulullah.
Beliau yang datang dari Kedah adalah
merupakan seorang yang berbangsa arab berasal dari Yaman dan asal-usul
keturunan beliau juga adalah daripada keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi
nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein r.a. Tidak banyak maklumat yang
diketahui tentang kehidupan awal beliau. Beliau yang hidup sekitar tahun 1788M
– 1866 M datang dari keluarga empat adik-beradik lelaki iaitu Habib Nuh, Habib
Ariffin dan Habib Zain (kedua-duanya meninggal di Pulau Pinang) dan Habib
Salikin, yang meninggal di Daik, Indonesia.
Dari perkahwinan beliau dengan Anchik
Hamidah yang berasal dari Province Wellesley, Pulau Pinang, mereka dikurniakan
hanya seorang anak perempuan bernama Sharifah Badaniah. Sharifah Badaniah
kemudiannya berkahwin dengan Syed Mohamad bin Hassan Al-Shatri di Jelutong,
Pulau Pinang. Pasangan ini kemudiannya memberikan Habib Noh hanya seorang cucu
perempuan bernama Sharifah Rugayah. Dia berkahwin dengan Syed Alwi bin Ali Al junied
dan mereka mempunyai lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan bernama Syed
Abdul Rahman, Syed Abdullah, Syarifah Muznah, Sharifah Zainah dan Sharifah
Zubaidah.
Dari banyak sumber yang diperolehi,
Habib Nuh tiba ke Singapura tidak lama setelah Sir Stamford Raffles mendarat di
pulau itu. Usianya pada ketika itu mencecah tiga puluhan tahun. Walaupun beliau
telah menghabiskan saki-baki usianya di Singapura dan meninggal dunia di sana,
beliau banyak berjalan, terutamanya ke Johor Bahru, Pulau Pinang, langkawi dan
negeri-negeri lain di Malaysia untuk berdakwah. Beliau adalah seorang yang amat
warak. Waktu malamnya beliau gunakan untuk solat hingga terbit fajar. Dan
beliau kerap berkunjung ke makam-makam (tanah perkuburan), selalu mendoakan
roh-roh yang telah meninggalkan jasad. Beliau sentiasa berjalan bersama-sama
kawan-kawan rapat melainkan bila dia secara spesifik meminta untuk bersaorangan
diri.
Habib Nuh bin Muhammad Al Habsyi lahir
di atas kapal laut pada tahun 1788 (1202 / 3 Hijrah). Dia adalah keturunan
langsung dari Nabi Muhammad. Orang tuanya adalah orang Arab dari Hadramaut,
daerah Arab selatan yang sekarang dikenal sebagai Yaman. Menurut Syaikh Hasan
Al-Khatib, pengurus dari Maqam Habib Nuh, yang mendengar dari Habib Al Khair,
isteri Habib Muhammad melahirkan ketika badai besar dan menghantam kapal. Ini
adalah saat yang kritis dan kapal terancam terbalik. Pada waktu itu, Habib Mohamad
membuat Nazar bahawa jika bayi itu lahir dengan selamat, ia akan beri nama bayi
itu "Noh" dalam mengingat Nuh (Noah) yang membawa cahaya rahmat dalam
kapalnya. Tak lama kemudian, Habib Noh tiba dengan selamat ke dunia ini.
Menurut beberapa beberapa sumber, ayah
Habib Nuh itu, Habib Muhammad Al Habsyi bekerja sebagai pejabat istana di bawah
Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Kursi pemerintah Kedah kemudian di Kota
Kuala Muda. Ketika isterinya meninggal Habib Muhammad Al Habsyi menikah dengan
Ku Pahmah, janda Syed Yassin Al Anggawi yang terbunuh di Limbong Kapal saat
diserang Siam Kedah pada tahun 1821. Setelah menikah, keluarganya pindah ke
Penang. Habib Noh juga memiliki pertalian saudara dengan Sharifah Aloyah
keturunan yang saat ini masih berada di Penang.
Karamah
Banyak Karamah yang dibuktikan oleh
mereka yang hidup sezaman dengan beliau. Tetapi, tidak ramai yang dapat menyelami
peranannya sebagai orang kerohanian yang sentiasa dirinya hampir dengan Allah
SWT. Kerana peranan sebagai Rijalullah atau Rijalulghaib ini amat simbolik dan
sukar difahami menerusi bahasa dan pengertian yang zahir sedangkan tugas mereka
juga besar. Antara kurniaan Karamah yang diberikan Allah swt adalah seperti
berikut;
Menghadiri Sidang Wali-wali.
Mengenai keistimewaan dan ketinggian
kedudukan Habib Nuh, Pakcik Muhammad Abu Bakar, 102 tahun, khadam kepada Syeikh
Haji Said Al Linggi r.h. menceritakan satu peristiwa yang berlaku ke atas
gurunya yang ada kaitan dengan As Sayid Habib Nuh:
Pada satu hari seperti biasa Syeikh
Muhammad Said masuk ke bilik suluk khas selepas sembahyang jemaah Asar. Seperti
biasa juga, Pakcik Muhammad menunggu di luar bilik kalau2 beliau dipanggil
masuk oleh gurunya untuk satu2 hajat. Tetapi pada petang itu beliau tidak
dipanggil, dan gurunya keluar dari bilik suluk itu apabila hampir masuk waktu
Maghrib dan terus sembahyang jemaah Maghrib bersama anak2 muridnya.
Malam itu Syeikh Said tidak mengajar.
Selesai sembahyang sunat, beliau bercakap dengan Pakcik Muhammad secara empat
mata.
“Engkau tahu aku pergi ke mana tadi?”
kata Syeikh Said.
“Saya tidak tahu,” jawab Pakcik
Muhammad dengan beradab.
“Aku pergi bersidang di Bukit Qhauf.
Aku dan Habib Nuh sahaja yang mewakili umat sebelah sini. Rasulullah SAW juga
hadir, dan engkau jangan cerita berita ini kepada sesiapa sebelum aku mati.”
Pakcik Muhammad Abu Bakar menyimpan
amanat ini sehingga beliau memberitahu penulis sewaktu di temui di rumahnya di
Seremban pada tahun 1991. Syeikh Said Linggi meninggal dunia pada tahun 1926.
Menurut Pakcik Muhammad, Bukit Qhauf itu duduknya di luar daripada alam
Syahadah. Wallahua’lam.
“Walaupun
persidangan itu dihadiri oleh Rasulullah SAW tetapi ia dipengerusikan oleh
orang lain, tak tahulah siapa orang istimewa itu,” tambah Pakcik Muhammad.
“Bila ditanya siapa orang yang mempengerusikan majlis itu, Syeikh Said tidak
memberitahu.”
Syeikh Said jua memberitahu bahawa
majlis yang dihadiri oleh beliau dan Habib Nuh ialah persidangan wali2 yang
membincangkan antara lain tentang satu wabak yang akan turun, yakni wabak
cacar. Dan para wali yang bersidang itu mohon bala itu supaya tidak turun.
Alhamdulillah, makbul. Tetapi menurut Pakcik Muhammad, “tempiasnya” masih
mengenai orang ramai sehingga ramai yang mati terutamanya orang2 kafir. [Wabak
cacar pada masa itu merupakan penyakit yang sangat bahaya dan belum ditemui
ubatnya].
“Saya tiga hari pengsan dan bahu saya
masih berparut diserang wabak cacar itu. itupun Syeikh Said yang mengubatnya,”
kata Pakcik Muhammad sambil menunjuk parut cacar di atas bahunya.
Cerita ini menggambarkan peranan
tersembunyi As Sayid Habib Nuh sebagai “pencatur dunia” yang mana kenyataan ini
sukar diterima oleh mereka yang hanya menggunakan akal menilai sesuatu
kebenaran.
Menunduk Gabenor Yang Angkuh.
As Sayid Habib Nuh dikurniai Allah
berbagai2 karamah sebagai tanda kemuliaan pada dirinya. Pelbagai cerita
mengenai kewalian dan karamah beliau dibawa dari mulut ke mulut sehinggalah
kepada Sayid Hassan Al Khattib, penjaga makam Habib Nuh r.h. Di antaranya
adalah seperti berikut :
As Sayid Habib Nuh bersikap tidak
menghormati orang2 yang angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah,
walaupun orang menghormatinya atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura
ketika itu tetapi Habib Nuh tidak takut kepada wakil penjajah itu.
Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford
marah dan menghina Habib Nuh kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba2 sahaja
kereta kuda yang dinaiki gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak.
Gabenor naik marah dan bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi
pengiring itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang
yang tuan marah dan hina itu?”
Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”
“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia
orang baik dan ada karamah. Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan
sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.
Gabenor menjadi takut dan akhirnya
meminta maaf dengan Habib Nuh. Setelah Habib Nuh menepuk2 kaki kuda itu,
barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa. Sejak itu gabenor sedar betapa
As Sayid Habib Nuh mempunyai kelebihan luar biasa.
Bagaimanapun, pada satu ketika gabenor
terus bersikap bongkak dan sombong dan memerintahkan orang-orangnya menangkap
Habib Nuh dan mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai.
Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati
wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya, para pengawal penjara
kemudian melihat Habib Nuh di luar penjara. tangan dan kakinya tidak dirantai.
Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan kelihatan seolah-olah
tidak ada apa-apa yang berlaku padanya akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.
Kapal Pelayaran, Terbakar Dan
Karam.
Dalam satu peristiwa lain, ketika
sebuah kapal hendak berlayar, muncul Habib Nuh di perlabuhan. Habib Nuh menahan
barang-barang yang berharga daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu.
Orang-orang yang terlibat tidak senang dengan sikap beliau itu tetapi beliau
tetap bertegas;
“Tidak boleh barang-barang yang
berharga itu dibawa.”
Setelah lama berbalah, akhirnya orang
ramai terpaksa akur dengan kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang-barang
tersebut tidak jadi mengirim barangnya dengan kapal itu.
Beberapa hari kemudian, penduduk
Singapura mendapat berita bahawa kapal yang berlayar itu terbakar dan tenggelam
di tengah lautan. Barulah tuan punya barang-barang tersebut sedar hikmah disebalik
larangan Habib Nuh itu. Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.
Habib Nuh Meminta Untuk
Melaksanakan Nazar dan Niat.
Dalam satu peristiwa lain, ada seorang
saudagar ingin meneruskan pelayarannya ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya
telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa
kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar
jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain
kepada Habib Nuh. Setelah sepuluh tahun berlalu, dia pun pulang dari pelayaran
itu. Habib Nuh pergi menemuinya dan menuntut kain seperti yang diniatkannya
itu. Orang itu terperanjat kerana dia tidak pernah menyatakan niatnya itu
kepada sesiapa dan dia sendiri sudah lupa dengan niatnya itu kerana terlalu
lama, tetapi Habib Nuh datang mengingatkannya akan niat baiknya itu.
Habib Nuh juga dikenali mempunyai
kelebihan untuk tahu masa depan. Beliau seolah-olah tahu jika seseorang itu
sakit, memerlukan beliau atau memaksudkan beliau. Pada satu masa, seorang India
Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah
berniat bahawa jika dia kembali ke Singapura dengan selamat, dia akan
menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah. Bila dia pulang, dia terkejut bila
melihat Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut.
Habib Nuh kata kepadanya “Saya percaya
bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.” Terkejut,
India Muslim itu berkata, “Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana,
apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada
tuan.”
Habib Nuh menjawab, “Saya mahukan
beberapa gulung kain kuning untuk disedekahkan kepada orang miskin, yang
memerlukannya dan kanak-kanak.” Sambil memeluk Habib Nuh, India Muslim itu
berkata, “Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki
yang dirahmati Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada
saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam
masa yang dijanjikan.
Bertemu Di Kota Mekah.
Beliau dikurniakan oleh Allah swt
kebolehan untuk ghaib, dan dilihat kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang
memberitakan bahawa beliau telah dilihat sedang solat di Masjid Besar Makkah
tanpa secara fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata
kepada bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Makkah. Bila jemaah itu sampai
di sana, dia telah disambut oleh Habib Nuh sendiri. Menurut orang-orang yang
hidup sezaman dengan Habib Nuh, mereka pernah bertemu atau berada dengannya di
beberapa tempat dalam satu masa yang sama. Kejadian seperti ini tidak pelik
bagi wali-wali Allah.
Tabib Yang Berkat Dan Hebat.
Habib Nuh juga terkenal sebagai tabib
yang hebat, terutamanya ke atas kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah
beliau menyembuhkan seorang kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya
meletakkan tangan-tangan beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa
yang singkat, kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada
apa-apa yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia
telah memberikan wang kepada Habib Nuh, tapi Habib Nuh memberikan wang itu
kepada yang memerlukan.
Habib Nuh sanggup mengharungi ribut
untuk pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau pernah berjalan ke Paya
Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah ketika hujan lebat untuk mengubati
seorang kanak-kanak. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak itu, ibu bapa
kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Nuh langsung tidak basah.
Air Bertukar Menjadi Susu.
Dalam satu insiden lain, Habib Nuh
telah dikejutkan oleh tangisan berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke
sana, beliau dapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli
makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila
mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa,menuangkan air ke
dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu
untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.
Keberkatan Menyayangi Kanak-kanak
Antara sifat yang menonjol pada diri
As Sayid Habib Nuh ialah beliau sangat menyayangi kanak-kanak . Sering orang
bertemu Habib Nuh bersama dikelilingi oleh kanak-kanak. Ini sesuatu yang
ganjil. Kadang-kadang beliau singgah di kedai-kedai bersama kumpulan kanak-kanak
dan kanak-kanak itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa apa-apa
bayaran.
Anehnya, ke semua tuan kedai tidak
melarang perbuatan itu. Kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh
keberkatan jika dikunjungi oleh Habib Nuh bersama kumpulan kanak-kanak
tersebut. Ini terbukti, mana-mana kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib
Nuh bersama kanak-kanak, kemudiannya menjadi maju dan tidak putus-putus
dikunjungi pelanggan.
Sayid Habib Nuh sayang kepada
kanak-kanak kerana mereka adalah Ahlul Jannah (ahli Syurga). Kelakuan Sayid
Habib Nuh itu agak ganjil bagi seorang yang sudah tua. Memang itu di antara
keganjilan Habib Nuh, seorang yang mempunyai keistimewaan yang terlindung.
Tebuan Menghormati Jenazah Beliau
Diceritakan ketika keranda jenazah
beliau diusung untuk ke makam pusaranya, mereka yang mengusungnya terpaksa
membawa keranda tersebut melalui ke satu lorong kecil. Di mana kiri dan kanan
sepanjang perjalanan di lorong kecil tersebut kedapatan penuh dengan pokok
buluh Cina serta dedaunnya yang panjang. Semasa melalui lorong itu, keranda
tersebut merempuh sarang tebuan sehingga sarang itu pecah. Tetapi tebuan-tebuan
itu tidak sedikit pun menganggu orang ramai yang mengiringi jenazah itu.
Pusara Terselamat Dari Letupan Bom
dan Pemugaran.
Karamah beliau tidak habis di situ
saja. Semasa Perang dunia kedua, bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh
Jepun, tidak ada satu bom pun singgah di pusara Habib Nuh. Dan bila kerajaan
Singapura mahu membina satu jalanraya di Tanjung Pagar, jambatan telah direka
bentuk untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan
Makam Habib Nuh.
Dikatakan, menurut rancangan
pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi
membolehkan pembinaan Highway dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan
daripada jawatankuasa makam dan masjid, kontraktor pembangunan telah
menempatkan beberapa jentolak untuk memulakan pemugaran. Dengan kuasa Allah
swt, semua jentolak tidak dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa
dibina membelok di antara sekitar makam dan masjid.
Banyak lagi kejadian aneh yang
dihubungkan kepada karamah Habib Nuh ini. Walau apa pun khawariqul adah
(perkara di luar adat) yang berlaku pada dirinya, maka itu bukanlah tuntutan
kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa Habib Nuh al-Habsyi adalah
seorang wali Allah yang soleh taat kepada ajaran Islam. Lihat, bukan sahaja
jelas karamahnya sewaktu hayat beliau masih hidup, bahkan setelah kewafatan
beliau juga masih terpelihara kemuliaanya. Apa yang diharapkan adalah agar kita
dapat mengikuti jejak langkah beliau dalam menuruti perjalanan usaha junjungan
nabi Muhammad s.a.w. Mahabbah kepada para solihin adalah dituntut dan seseorang
itu nanti akan berada bersama orang yang dikasihinya di akhirat kelak.
Nasihat dan Wasiat
Beberapa hari sebelum beliau meninggal
dunia, beliau telah memberikan banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya.
Antara mutiara kata beliau ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan
jangan punya perasaan hasad-dengki (dan sebarang perasaan
negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup
anda.”
Sebelum meninggal, Habib Nuh telah
berpesan kepada kawan-kawannya agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer
sebuah (bukit kecil di jalan Palmer), yang merupakan tanah perkuburan kecil
pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai
pesanan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari
Muslim. Bila sampai masanya untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari
atas tanah. Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Persekitaran menjadi
kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak
berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah.
Nasib baik, seorang daripada yang
hadir akhirnya teringat akan pesan Habib Nuh tersebut dan lantas tampil
menceritakan hal yang sebenarnya kepada setiap orang yang hadir.
Setiap orang menyedari bahawa mereka
telah lupa tentang pesanan tersebut, lalu bersepakat memutuskan untuk bergerak
menuju ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat
dengan mudah dan laungan Allahu Akbar bergema mengiringi perjalanan mereka.
Dengan izin Allah swt, jenazah Habib Nuh telah selamat dikebumikan di Mount
Palmer.
Kewafatan
Setelah 78 tahun mengabdikan diri
beliau kepada Islam, Habib Nuh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27
Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283. Habib Nuh menghembuskan
nafasnya yang terakhir di Telok Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar,
Johor. Apabila berita itu tersebar, ramai orang daripada pelbagai peringkat,
termasuk orang-orang Inggeris yang telah memeluk Islam melalui beliau, dan
mereka yang berada di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk
menziarahi pusaranya. Pada hari yang sama, semua kereta kuda yang ada di
Singapura memberhentikan aktiviti harian mereka kerana ingin membawa pengunjung
ke makamnya dengan tanpa bayaran.
Di belakang makam Habib Nuh, terdapat
sebuah makam yang dipercayai adalah makam Qadhi pertama di Singapura pada era
pemerintahan British. Beliau dikatakan anak saudara kepada Habib Nuh dari kaum
kerabat Alhabsyi, namanya Said Abdul Rahman Bin Salim Al-Habsyi r.a yang wafat
pada tahun 1867.
Beberapa tahun selepas jenazah Habib
Nuh dikebumikan pada tahun 1890, seorang hartawan bernama Sayid Muhammad bin
Ahmad Al Sagof telah membuat binaan di atas makam Habib Nuh tersebut. Beberapa
tahun lalu makam itu dibaik pulih kerana binaan lama sudah hampir roboh.
Pada tahun 1962, kerajaan Singapura
menambak laut di sekitar makam itu sehingga menjadi dataran. Dan di situ juga
didirikan bangunan-bangunan. Keadaan tempat itu sekarang jauh berbeza dengan
apa yang digambarkan akan berlaku sebelum adanya makam Habib Nuh di situ.
Dengan itu makam Sayid Habib Nuh terus selamat dan terjaga.
Makam Habib Nuh yang terletak di atas sebuah
bukit kecil di Jalan Palmer bersebelahan dengan Masjid Haji Mohd Salleh, kini
ianya telah diambil alih sepenuhnya oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura
untuk segala urusan yang berkaitan dengan makam.
Makam beliau tetap terpelihara
sehingga ke hari ini dan menjadi kebiasaan, makam Habib Nuh sering diziarahi
oleh orang ramai termasuk orang-orang Arab dari Hadralmaut dan negara-negara
Arab lain serta umat Islam di sekitar Asia untuk mendapat keberkatan daripada
kewaliannya. Juga sebagai memenuhi seruan Rasulullah s.a.w. supaya menziarahi
kubur agar dapat mengingati mati (zikrul maut).