Suatu hari Raja Muzaffar yang masih
kanak-kanak bertanya kepada Bondanya tentang ALLAH.
“Bonda... dimana ALLAH dan bolehkah
Anakanda melihatNya?”
“Oh... ALLAH itu di Arasy wahai
Anakanda dan Anakanda tidak dapat melihatNya kerana ALLAH berada nun jauh
diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun manusia tidak nampak
bagaimana hal keadaanNya lantas bagaimana mungkin Anakanda akan dapat melihat ALLAH
yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala
langit?”
“Oh begitu… bagaimana dengan dalilnya
Bonda?”
Dalilnya begini... “Sesungguhnya Tuhan
kamu ialah ALLAH Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia
bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan... dari Surah Yunus ayat
ke 3.”
Maka giranglah hati Raja Muzaffar
kerana telah mendapat jawapan daripada persoalan yang selama ini sentiasa semak
difikirannya. Masa pun berlalu... hari berganti minggu, minggu berganti bulan
dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja Muzaffar.
Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan
Ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di
Negeri Ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu
berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang paling
diminatinya.
Suatu hari sambil duduk-duduk santai
dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja Muzaffar ditanyai oleh Syeikh Abdullah
dengan dua persoalan yang tidak asing baginya.
“Wahai Anakanda Putera Raja... dimana
ALLAH dan bolehkah Anakanda Putera Raja melihatNya?”
Sambil tersenyum Raja Muzaffar
menjawab sebagaimana yang telah diajarkan Bondanya dahulu... “ALLAH itu di
Arasy wahai Syeikh Guru dan Beta tidak boleh melihatNya kerana ALLAH berada nun
jauh diatas 7 petala langit.”
Tersenyum kecil Syeikh Abdullah
mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak selepas menghela nafasnya Syeikh
Abdullah lalu bersuara.... “Begini Anakanda Putera Raja… ALLAH itu bukannya makhluk
seperti kita lantaran itu ALLAH tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang
terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas ALLAH. Oleh itu ALLAH tidak
bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”
“Lantas dimana ALLAH itu wahai Syeikh
Guru?”
“ALLAH itu tidak bertempat kerana Dia
bersifat qiammuhu binafsihi yang bermaksud ALLAH tidak berhajat pada sesuatu
zat lain untuk ditempati. Jika kita mengatakan ALLAH berhajat pada sesuatu zat
lain untuk ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan ALLAH dengan
keadaan makhluk. Ketahuilah, ALLAH tidak serupa dengan makhluk berdasarkan
kepada dalil dari Surah Asy-Syura ayat ke 11 yang bermaksud “Dia tidak
menyerupai segala sesuatu.” ALLAH tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu
adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung Zat ALLAH sedang
bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian
ALLAH.”
Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan
kepalanya tanda faham.
Kemudian Syeikh Abdullah menambah...
“Berkenaan tentang Anakanda Putera Raja tidak boleh melihat ALLAH itu adalah
betul namun bukanlah kerana ALLAH itu jauh maka Anakanda Putera Raja tidak
boleh melihatNya.”
“Jika bukan begitu lantas bagaimana
Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.
“Sebenarnya kita tidak dapat melihat
ALLAH bukanlah kerana asbab jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan
penglihatan matamanusia yang tidak mampu melihat ZatNya. Ini bersesuai dengan
firman ALLAH yang bermaksud “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedangkan
Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha
Mengetahui... dari Surah Al-An’am ayat 103.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah
Gurunya itu. Barulah beliau sedar bahawa apa yang menjadi pegangannya selama
hari ini adalah salah. Pegangan yang mengatakan bahawa ALLAH itu diArasy dan
ALLAH tidak boleh dilihat kerana asbab jarak adalah satu kesilapan.
Huraian daripada Gurunya melalui ilmu
Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang dapat
menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari tu Raja Muzaffar
berpegang dengan hujah gurunya bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia
tidak boleh melihat ALLAH kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata
manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah
berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu kalam sebagaimana
yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.
Masa terus berjalan dan kini Raja
Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu minatnya yang mendalam tentang
ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin daripada ayahandanya untuk
menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang
berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia.
Ayahandanya memberi izin lalu tanpa
berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran Almarhum Syeikh
Gurunya untuk melanjutkan pelajaran. Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik.
Saban hari apabila beliau melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah
guru-gurunya, beliau akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan
soalan yang pernah ditanya kepada bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah
manusia melihatNya?
Bagi sesiapa yang menjawab soalannya
itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan
kefahaman orang itu dengan hujah Almarhum Gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang
itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum
diusir dari negerinya itu.
Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap
hari sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang
bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang yang
lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah.
Melihat kelakuan pelik orang tua itu
lantas Raja Muzaffar mendekatinya. “Hei orang Tua... mengapa kamu tidak
mengambil upah atas usahamu itu?” Tanya Raja Muzaffar tegas.
Orang Tua yang sedari tadi begitu
khusyuk mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja
Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.
“Siapakah Tuan ini?” Tanya si Tua.
“Beta adalah Putera Raja negeri ini.”
Jawab Raja Muzaffar tegas.
“Oh kalau begitu Tuan ini tentu Raja
Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, Tuan
hanya tahu ilmu tentang ALLAH tetapi Tuan sendiri belum mengenal ALLAH. Jika
Tuan telah mengenal ALLAH sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya
soalan Tuan tadi.”
Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar
mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal
ALLAH’ yang diucapkan orang tua itu.
Lantas beliau bertanya kepada orang
tua itu. “Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”
Dengan tenang si Tua itu menjawab...
“Ibarat seseorang yang datang kepada Tuan lantas menceritakan kepada Tuan
tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini
mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada pada
mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah nangka
kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang kepada Tuan
lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya
terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada
mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”
Raja Muzaffar mendengar dengan teliti
huraian si Tua itu. Diam-diam, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua
itu. Kemudian terlintas dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim
ditanyanya kepada orang ramai.
“Kalau begitu wahai orang Tua silalah
jawab persoalan Beta ini... dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?”
“ALLAH berada dimana-mana sahaja dan
manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.
Tercengang Raja Muzaffar mendengar
jawapan orang tua itu. Seketika kemudian terus saja orang Tua itu dipukulnya
sehingga jatuh tersungkur. Melihat orang Tua itu tidak cuba mengelak pukulannya
bahkan langsung tidak menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas
bertanya... “Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang Tua?”
“Bukankah tadi sudah hamba bilang...
Tuan ini hanya orang yang tahu tentang ALLAH tetapi bukannya orang yang
benar-benar mengenal ALLAH.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar
kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau menenangkan dirinya lantas bersegera
duduk diatas tanah dihadapan orang Tua itu.
“Baiklah orang Tua... Silalah huraikan
jawapan kamu tadi sebab Beta berpegang bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan
manusia tidak boleh melihat ALLAH.”
“ALLAH itu tidak bertempat adalah
menurut pandangan hukum akal sahaja sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar
orang Tua itu sambil mengesat bucu bibirnya yang berdarah.
Kemudian beliau menyambung...
“Bukankah ALLAH itu wujudNya Esa?”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Jika ALLAH itu wujudNya Esa maka
sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu bersertaNya.”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud
alam ini jika ALLAH itu diyakini wujud tanpa ada selain zat yang wujud
bersertaNya dengan pandangan mata hati?”
Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat
lantas dikerahkan pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai
orang Tua itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini
jika ianya merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau
membuat satu kesimpulan... “Jika dipandang dari sudut Esanya wujud ALLAH maka
alam ini tidak lain melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu
terpacul keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar
ucapannya sendiri.
Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh.
Terkejut... tergamam... terkedu... “Jadi kalau begitu ketika Tuan memandang
alam ini, siapa yang Tuan pandang pada hakikatnya?”
Pantas soalan itu diajukan kepada Raja
Muzaffar. “Pada hakikatnya Beta memandang ALLAH...”
“Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada
berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH”
dari Surah Al-Baqarah ayat ke 115 dan dalam Surah Al-Hadiid ayat ke 3 yang
bermaksud “Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.”
Kemudian orang Tua itu bertanya
lagi... “Dan sekarang dapat atau tidak Tuan melihat ALLAH ketika ini”
“Ya.. Beta menyaksikan dengan ainul
basyirah.”
Perlahan-lahan berjujuran air mata
dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau menahan sebak kerana sekarang beliau sudah
faham kenapa orang tua itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak
mengelak ketika dipukul. Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian
ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata... “Memang benar
sesungguhnya pada sudut ini, ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh
melihat ALLAH.”
“Makanya wahai Putera Raja.. inilah
yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”
Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus
mendampingi orang tua itu untuk mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu
hakikat hingga diangkat beliau oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu
hakikat. Demi memahami ilmu-ilmu hakikat yang halus-halus Raja Muzaffar telah
menjadi seorang ahli ibadah yang alim-mualim. Beliau tidak lagi berpegang
dengan fahaman Almarhum Gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang
boleh membuatkan seseorang itu dapat mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah
dengan ilmu hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum
akal sama sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau,
ilmu kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.
Setelah kemangkatan Ayahandanya maka
Raja Muzaffar ditabalkan menjadi Sultan dinegerinya dan sekarang beliau
menyandang gelaran Sultan Muzaffar Shah pada usia 50 tahun.
Beliau memerintah negerinya dengan
adil dan saksama namun sikap ganjilnya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana
sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu.
Jika orang yang ditanya tidak dapat
menjawab maka akan diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu
membangkang akan dihukum bunuh.
Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar
Shah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru
itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.
Suatu petang Sultan Muzaffar Shah yang
terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput
yang luas dengan ditemani para pembesar istana.
Pandangannya tertarik pada gelagat
seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang
berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya.
Baginda mendatangi pemuda gembala itu.
Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan
tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya
kering dan badannya kurus.
“Wahai pemuda... kenapa kamu menghalau
serigala itu dari memakan kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat
serigala itu? Maka biarkan sahaja ALLAH bertindak menurut kemahuanNya.”
Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar
Shah itu sekonyong-konyong pemuda gembala itu lantas menggenggam pasir lalu
dilemparkannya pasir itu ke muka Sultan Muzaffar Shah. Kemudian pemuda gembala
itu membongkok lagi untuk kali kedua mengambil segenggam pasir lalu dilemparkan
sekali lagi ke muka Sultan Muzaffar Shah.
Sultan Muzaffar Shah hanya tercegat
sahaja mungkin terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu
terus mahu mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar
istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau jatuh
pengsan.
Apabila sedar dari pengsan, pemuda
gembala itu mendapati tangan dan lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu
didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana
dengan kasar merenggut rantai besi yang terikat dibadannya dan dibawa ke suatu
tempat yang amat asing baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai
dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Shah.
“Mengapa kamu melempari muka Beta
dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan Sultan Muzaffar Shah.
“Kerana Tuanku mengatakan bahawa
serigala itu adalah ALLAH yakni Tuhan saya.
“Bukankah hakikat serigala itu
sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Shah hairan.
“Nampaknya dakwaan tuanku ini menunjukkan
seorang yang mengenal ALLAH adalah kebohongan semata-mata.”
“Kenapa kamu berkata begitu?”
“Sebab orang yang sudah sempurna
mengenal ALLAH pasti merindui untuk bertemu menemui ALLAH.”
Setelah 30 tahun baru hari ini hati
Sultan Muzaffar Shah terpesona lagi apabila mendengar ungkapan ‘bertemu menemui
ALLAH’ yang diucapkan oleh pemuda gembala itu.
Dahulu hatinya pernah terpesona dengan
ungkapan ‘mengenal ALLAH’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Shah memerintahkan
agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.
“Lantas apa utamanya ‘bertemu’
berbanding ‘kenal’?” Tanya Sultan Muzaffar Shah.
“Adakah Tuanku mengenali sifat-sifat
Rasulullah?” Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba...
“Ya... Beta kenal akan sifat-sifat
Rasulullah.”
“Lantas apa keinginan Tuanku terhadap
Rasulullah?”
“Semestinyalah Beta mahu dan rindu
untuk menemuinya kerana baginda adalah kekasih ALLAH!”
“Nah begitulah… orang yang sempurna
pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu
yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah
‘mengenal’ semata-mata.”
Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Shah
berteriak kuat dengan menyebut perkataan ‘Allahu Akbaaar...!.!.!’ sekuat-kuat
hatinya lalu baginda jatuh pengsan tidak sedar diri. Tidak lama kemudian
setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka baginda kembali sedar.
Sultan Muzaffar Shah terus menangis
teresak-esak hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah
dirinya.. “Memang... memang selama ini beta mengenali ALLAH melalui ilmu
hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya.
Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta
pegangi selama ini juga salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh
Abdullah”... bisik hatinya.
Kemudian terlintas difikiran Sultan
Muzaffar Shah untuk menanyakan soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.
“Kalau begitu wahai orang muda,
silalah jawab persoalan Beta ini... dimana ALLAH?”
Dengan tenang pemuda gembala itu
menjawab... “ALLAH berada dimana Dia berada sekarang.”
“Kalau begitu, dimana ALLAH sekarang?
“Sekarang ALLAH berada dimana Dia
berada dahulu.”
“Dimana ALLAH berada dahulu dan
sekarang?”
“Dahulu dan sekarang Dia berada
ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”
“Dimana tempat itu?”
“Didalam pengetahuan ilmu ALLAH.”
Sultan Muzaffar Shah terdiam sebentar
sambil keningnya berkerut merenung jawapan yang diberi pemuda gembala itu.
Kemudian baginda meneruskan pertanyaannya lagi.
“Bolehkah manusia melihat ALLAH?”
“Kunhi ZatNya tidak boleh dicapai
dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”
“Sila perjelaskan lagi wahai anak
muda.” Pinta Sultan Muzaffar Shah.
“Begini Tuanku... adapun jawapan yang
diberikan oleh Bonda Tuanku itu diatas dasar soalan lazim yang Tuanku berikan
itu adalah sebenarnya betul menurut tahapan akal Tuanku yang ketika itu dinilai
masih kanak-kanak.
Adapun jawapan yang diberikan oleh
Syeikh Abdullah itujuga betul jika dinilai dari sudut hukum akal... Dan jawapan
yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut
pengamalan musyahadah terhadap ilmu hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang
saya berikan juga betul jika dinilai dari sudut ilmu ma’rifat.
Tiada yang salah cuma ilmu itu
bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari tahapan
jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu kalam) kemudian ke tahapan khusus
(ilmu hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu ma’rifat).”
Kemudian pemuda gembala itu terus
menyambung kata-katanya... “Jika ilmu hakikat itu jalan fana kerana menilik
kepada Zat ALLAH maka ilmu ma’rifat pula jalan baqa kerana menilik terus kepada
Kunhi Zat ALLAH. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya
simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana ALLAH melainkan ALLAH dan tiada sesiapa
yang dapat
melihat ALLAH melainkan diriNya sendiri.”
Sultan Muzaffar Shah
mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham... “Jadi bagaimana hendak sampai ke
tahap mengenal ALLAH dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”
“Jangan mengenal ALLAH dengan akal
sebaliknya mengenal ALLAH dengan ALLAH.”
“Kemudian, apakah cara-caranya untuk
dapat bertemu dengan ALLAH?”
“Sebagaimana firman ALLAH yang
bermaksud... “Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah
dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam
beribadat kepadanya”... dari Surah Al-Kahfi ayat ke 110.
Mendengar penjelasan daripada pemuda
gembala itu hati Sultan Muzaffar Shah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima
menjadi murid si pemuda gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam
mengerti ilmu ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang Sultan
yang arifbillah lagi zuhud serta warak.
Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas
untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam
ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah Wal Jamaah.
Dan sekarang pada usia 70 tahun
barulah Sultan Muzaffar Shah sedar dan faham bahawa untuk memahami tentang
ALLAH maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum
seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada ilmu kalam,
ilmu hakikat atau ilmu ma’rifat maka kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari,
difahami, dimengerti bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan
insan kamil yang ma’rifatullah.
Kini Sultan Muzaffar Shah sudah
memahami bagaimana rasanya rindu kepada ALLAH dan bagaimana rasanya benar-benar
tidak sabar untuk bertemu ALLAH. Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik
mengucapkan kalimah Ismu Zat Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat
deruan air mata jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan.
Perlahan-lahan pemuda gembala
menghampiri Sultan Muzaffar Shah yang sejak 20 tahun lalu tinggal bersama
dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu diribaan
silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai tersekat-sekat dan
melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga Sultan Muzaffar Shah
lantas mentalqinkan baginda dengan kalimah tauhidan seraya diikuti baginda
dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan Muzaffar Shah menghembuskan nafasnya
yang terakhir.
Suasana menjadi hening… pemuda gembala
menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata. “Alangkah beruntungnya dia..
sekarang Tuanku benar-benar telah menemui ALLAH dan dapat mengenalNya dengan
sebenar-benar kenal. "Ya... ALLAH masih belum layakkah untuk aku bertemu
denganMu, aku mencemburui Sultan Muzaffar Shah ini maka jemputlah aku
menghadapMu…”
Sebentar kemudian pemuda gembala itu
pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir...
Tiba-tiba hujan pun turun seolah-oleh
menangisi permergian dua insan yang mulia akhlaknya itu.
No comments:
Post a Comment