NABI Muhammad saw ada
menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat
Islam seluruhnya. Antara wasiat yang boleh dijadikan amalan serta renungan
bersama adalah wasiatnya kepada menantu Baginda, Saidina Ali bin Abu Talib. Sungguhpun
wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim, perlu menjadikannya
sebagai iktibar dan menjadikannya amalan.
"Wahai Ali, bagi
orang mukmin ada tiga tanda iaitu:
1. Tidak terpaut hatinya pada harta benda
dunia;
2. Tidak terpesona dengan pujuk rayu;
3. Benci terhadap
perbualan dan perkataan sia-sia.
"Wahai Ali, bagi
orang alim itu ada tiga tanda iaitu:
1. Jujur dalam
berkata-kata;
2. Menjauhi segala
yang haram;
3. Merendah
diri.
"Wahai Ali, bagi
orang yang jujur ada tiga tanda iaitu:
1. Merahsiakan
ibadahnya
2. Merahsiakan
sedekahnya;
3. Merahsiakan ujian
yang menimpanya;
Wahai Ali, bagi orang
yang takwa itu ada tiga tanda iaitu:
1. Takut berlaku
dusta dan keji.
2. Menjauhi
kejahatan.
3. Memohon yang halal
kerana takut jatuh dalam keharaman.
Wahai Ali, bagi ahli
ibadah itu ada tiga tanda iaitu:
1. Mengawasi
dirinya.
2. Menghisab
dirinya.
3. Memperbanyakkan
ibadah kepada Allah.
Ibnu Abbas pula
meriwayatkan, bahawa Ali berkata:
"Pada hari
perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah bersabda kepadaku, mengutarakan 13
wasiat khusus untukku iaitu:
"Wahai Ali,
takutilah engkau daripada memasuki" tempat mandi (hammam) tanpa memakai
kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa
kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).
"Wahai Ali, janganlah engkau 'memakai
cincin pada jari telunjuk dan tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang
dilakukan oleh kaum Lut.
"Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi
hamba-Nya yang melafazkan istighfar: "Rabighfirli fainnahu la
yaghfirul-zunuba illa Anta" (Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada
yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai
malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang
mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya
aku telah mengampuni dia."
"Wahai Ali,
takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka
dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu
memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau,
bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.
"Wahai Ali, peliharalah diri engkau
daripada mengumpat dan mengadu-domba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu
diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu
syurga.
"Wahai Ali,
janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar,
kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah
engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang
bersumpah dusta dengan nama-Nya.
"Wahai Ali,
janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah
mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
"Wahai Ali, takutilah engkau daripada
berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah.
Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
"Wahai Ali,
sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu
menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Mencungkil gigi itu
dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana
sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan.
"Wahai Ali,
janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah
engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas
hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah
engkau kepada kesabaran.
"Wahai Ali,
perhitungkan (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri
engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada
Allah.
"Wahai Ali, apa
yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara
engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga
pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi
hukuman. Maka dengan demikian , engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
"Wahai Ali,
perbaikkan perhubungan antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah
engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan
kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
"Wahai Ali,
peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan
kelepasan. Insya-Allah."
No comments:
Post a Comment