Semoga Allah s.w.t memberikan kamu
kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu
memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan
apa yang aku katakan.
Allah Yang Maha Tinggi pada
permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya.
Dalam hadis Qudsi Dia berfirman:
“Aku
ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku”.
Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad
s.a.w dengan sabdanya: “Mula-mula Allah
ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci”.
“Mula-mula
Allah ciptakan qalam”.
“Mula-mula
Allah ciptakan akal”.
Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan
permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran
tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia
dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang
tersembunyi di bawah sifat jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:“Sesungguhnya
telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”. (Al-Maaidah,
ayat 15)
Dia dinamakan akal yang meliputi (akal
universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan
qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam
huruf-huruf.
Roh Muhammad adalah zat atau hakikat
kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w
menyatakan hal ini dengan sabdanya, “Aku
daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku”. Allah Yang Maha Tinggi
menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian
yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad’ adalah nama kepada
sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan
kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Empat ribu tahun selepas diciptakan
cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia
ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun
kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam
jirim dan badan.“Kemudian Kami turunkan
ia kepada peringkat yang paling rendah”. (Surah Tin, ayat 15)
Dia hantarkan cahaya itu daripada
tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah,
bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan
sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh
universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini
dinamakan ‘roh pemerintah’. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam
malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani’. Kemudian Dia arahkan mereka
turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan
mereka menjadi ‘roh manusia’. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh
yang berdaging, berdarah.“Kemudian Kami
jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan
dibangkitkan sekali lagi”. (Surah Ta Ha, ayat 55)
Selepas peringkat-peringkat ini Allah
memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya
mereka pun masuk.“Maka
apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. (Surah Shad,
ayat 72)
Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan
badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan
perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah
Dia telah bertanya kepada mereka: “Adakah
aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab: Iya,
bahkan!.”
Mereka lupa kepada ikrar mereka.
Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali
kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber
kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia
mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada
mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.“Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami
(sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan
kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah”. (Surah Ibrahim,
ayat 5)Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang
hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah’.
Ramai rasul-rasul telah datang ke
dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini.
Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta
menyedarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya,
yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka,
menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.
Nabi-nabi terus diutuskan dan
perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang
terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran
dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia
iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia
dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan
yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah. Allah berfirman:“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan
orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas
(basirah)”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad
s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, “Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di
langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang
benar”.
Pandangan yang jelas (basirah)
datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati
orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di
dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang
itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi
pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi. “Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu
laduni)”. (Surah Kahfi, ayat 65).
Apa yang perlu seseorang lakukan ialah
mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik,
dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru
yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang
hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.
Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara
dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan
memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan
berjuanglah. Allah memerintahkan: “Dan
berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas)
langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma
di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah
kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan”. (Surah Imraan, ayat 133 &
134).
Masuklah kepada jalan itu dan
bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada
satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada
jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan
dunia ini. Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh
penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu.
Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila
baginda s.a.w bersabda, “Dukacitaku
adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.
Apa sahaja yang datang kepada kamu
datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam
bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan
atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan
zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam
keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau
makrifat. Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau
makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada
makam yang sebenarnya (hakikat). “Dia alirkan
dua laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang
kedua-duanya tidak mampu melewatinya”. (Surah Imraan, ayat 19 & 20).
Kedua-duanya mesti menjadi satu.
Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan
melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan. Dengan cara
tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan
penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat.
Allah berfirman tentang ibadat: “Dan
tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”.
(Surah Dzaariyat, ayat 56).
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku’.
Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan
sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?
Makrifat yang diperlukan bagi
mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin
hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga
bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar
pada rahsia cermin hati.
Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman
melalui rasul-Nya:
“Aku
adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan
makhluk supaya Aku dikenali”.
Tujuan suci diciptakan manusia ialah
supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat makrifat yang suci.
Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi
kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali
Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat
menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Makrifat yang memimpin kepada
Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa
atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan
roh kudus”. (Surah Baqarah, ayat 87).
Orang yang mengenali Zat Allah menemui
kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.
Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi
dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan
kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata.
Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda, “Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada
lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati
manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.
Pada peringkat permulaannya seseorang
itu memerlukan pengetahuan syarikat. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan
dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di dalam alam sifat-sifat dan
nama-nama ini. Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan
kerohanian tentang rahsia-rahsia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang
makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat
yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala-galanya yang tidak
dipersetujui oleh syariat malah, kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang
baik mestilah dihapuskan. Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan cara
yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai
dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui
oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak
hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan
untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah
dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya. Allah berfirman:
“Barangsiapa berharap menemui Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu
dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat 110).
Apa yang dihuraikan sebagai daerah
makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia
adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana. Di
samalah roh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh suci adalah roh
insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah
ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia
agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang
sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama. Keindahannya akan memancar
ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi
kalimah “La ilaha illah Llah”. Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah.
Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.
Sufi menggambarkan keadaan kerohanian
yang demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam
hati, dibela dan dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan seperti ibu,
melahirkannya, menyusun, memberi makan dan memeliharanya. Jika anak-anak
diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat
rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih daripada dosa, bayi hati adalah tulen,
bebas daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya menyata
dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan bayi hati
muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran syurga sebagai
balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari syurga
didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati. “Dalam kebun-kebun kenikmatan…melayani mereka anak-anak muda yang tidak
berubah keadaan mereka”. (Surah Waqi’ah, ayat 12 – 17 ).
“Melayani
mereka adalah anak-anak muda laksana mutiara yang tersimpan”. (Surah Tur,
ayat 24).
Mereka adalah anak-anak kepada hati,
menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan
ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam kewujudan zahir,
dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan kelembutan
sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang
mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan
Pencipta sendiri. Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan. Di dalam kesedarannya
tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab,
tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.
Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan
suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w, “Ada masa aku dengan Allah di
mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus”. Maksud ‘nabi’
di sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri.
Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w,
kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir
dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan
menghijabkannya dengan Allah. Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana
demikian, “Ada syurga Allah yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai
madu dan susu, syurga yang di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah
Yang Maha Suci”. Allah s.w.t berfirman: “Beberapa
muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang”. (Surah
Qiamat, ayat 22 & 23).
Pada suasana atau makam tersebut jika
seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan
terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya: “Jika Aku bukakan penutup sifat
keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar
sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku”.
Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd
s.a.w pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan
jika dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.
No comments:
Post a Comment